Isu sekolah: Kepemimpinan Taliban bercanggah pendapat

Isu sekolah: Kepemimpinan Taliban bercanggah pendapat

taliban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Tindakan Taliban melarang pelajar perempuan mendapatkan pendidikan terus mencemarkan persepsi pelbagai pihak terhadap keupayaan kumpulan ultra konservatif itu untuk mentadbir kerajaan Afghanistan.

Larangan itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan antarabangsa, malah turut menyebabkan barisan kepemimpinan Taliban keliru dengan keputusan berkenaan.

Pada bulan lalu, sekolah menengah untuk pelajar perempuan diarahkan ditutup, beberapa jam selepas dibuka semula buat pertama kali sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu.

Arahan itu dikeluarkan selepas kepemimpinan Taliban mengadakan mesyuarat rahsia di pusat pentadbiran di Kandahar.

Sehingga kini, rejim itu tidak mendedahkan mengapa pelajar perempuan tidak dibenarkan ke sekolah.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Taliban memberitahu AFP bahawa pemimpin tertinggi, Hibatullah Akhundzada bersama beberapa tokoh kanan mendominasi mesyuarat berkenaan.

Katanya, kini wujud dua puak dalam pergerakan itu membabitkan kumpulan moden dan ultra konservatif.

“Kumpulan ultra konservatif menang dalam pusingan ini,” katanya merujuk kepada kumpulan ulama termasuk Ketua Hakim, Abdul Hakim Sharai; Menteri Hal Ehwal Agama, Noor Mohammad Saqeb dan Menteri Mempromosikan Nilai dan Pencegahan Maksiat, Mohamad Khalid Hanafi.

Sementara itu, penganalisis berpangkalan di London, Ashley Jackson, berkata kumpulan ulama merasakan terpinggir dalam keputusan dibuat kerajaan sehingga menyebabkan mereka menyuarakan penentangan terhadap pendidikan dalam kalangan pelajar perempuan.

Jelasnya, usaha itu dilihat bagi memperkasakan semula pengaruh mereka.

Baru-baru ini sekumpulan 24 pelajar perempuan mengadakan protes sambil melaungkan ‘buka sekolah’ di ibu negara Afghanistan, hari ini.

Protes dibuat bagi menentang keputusan kerajaan Taliban menutup semua sekolah menengah, hanya beberapa jam selepas pembukaan semula sesi persekolahan minggu ini.

“Buka sekolah! Keadilan, keadilan!

“Pendidikan adalah hak asasi kami bukannya jadi alat politik,” laung peserta protes yang dilihat membawa buku sekolah semasa berhimpun di sini, hari ini.

Protes tersebut kali pertama diadakan oleh golongan wanita.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN