Indonesia sekat eksport minyak sawit: Wajar atau tidak?

Indonesia sekat eksport minyak sawit: Wajar atau tidak?

PEKERJA memindahkan kelapa sawit ke dalam trak untuk diproses menjadi minyak mentah di Pekanbaru, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN: Sekatan eksport minyak sawit yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia menyebabkan harga minyak masak di seluruh dunia melonjak lebih tinggi.

Keadaan itu secara tidak langsung memburukkan lagi kebimbangan keselamatan makanan global, selain dipengaruhi faktor perubahan iklim dan perang antara Ukraine dan Russia.

Larangan yang diumumkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada Jumaat lalu itu dibuat ketika bekalan makanan global mengalami tekanan akibat hasil penuaian yang tidak menggalakkan di beberapa negara.

Selain itu, industri eksport dunia turut terjejas akibat pencerobohan Rusia di Ukraine dan kekurangan tenaga kerja yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia dan sekatan eksport menyebabkan ‘kejutan’ terhadap bekalan minyak sayuran, sekali gus mendorong kepada harga lebih tinggi.

“Apabila harga minyak naik, secara automatik harga makanan juga akan meningkat dan keadaan itu menjejaskan golongan kurang berkemampuan di negara membangun,” kata penganalisis ekonomi di Natixis di Hong Kong, Trinh Nguyen kepada Al-Jazeera.

Jelasnya, larangan itu turut memberi kesan kepada masalah kekurangan tenaga buruh di Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.

“Malaysia mungkin memperoleh keuntungan daripada harga yang lebih tinggi, namun keadaan itu tidak mampu menampung kejutan bekalan.

“Kita sepatutnya mengalami kekurangan bekalan global yang memberi kesan kepada harga makanan global,” ujarnya.

 

HARGA MINYAK MAHAL

Sejak beberapa bulan lalu, harga minyak sawit mentah global (CPO) yang merupakan bahan utama dalam penghasilan minyak masak di Indonesia meningkat mendadak.

Indonesia mengehadkan eksport minyak sawit pada Januari lalu, sebelum membatalkannya pada bulan lepas, kemudian melaksanakannya semula sehingga pemberitahuan kelak.

Selain itu, Indonesia juga dijangka meluaskan sekatan terhadap eksport minyak sawit mentah bagi menstabilkan pengeluaran dalam negara.

Larangan terbaharu itu dilihat sebagai usaha Jokowi untuk mengagihkan bantuan tunai secara langsung bagi mendapatkan bekalan minyak masak.

Menerusi ucapannya, Jokowi menekankan sekatan eksport itu adalah wajar dan bertujuan memastikan ‘rakyat Indonesia tidak berlapar’, ketika dunia berdepan kadar inflasi tinggi.

“Saya akan memantau dan menilai pelaksanaan dasar ini supaya bekalan minyak masak dalam pasaran mencukupi dan boleh dibeli rakyat pada harga mampu,” jelasnya.

Sekatan eksport itu akan berkuatkuasa pada 28 April ini dan Indonesia tidak memaklumkan bila larangan berkenaan akan berakhir.

 

HARGA MAKANAN NAIK

Pembantu penyelidik di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa di Jakarta, Ega Kurnia Yazid pula berpandangan, larangan eksport minyak sawit oleh kerajaan Indonesia sudah tentu akan memburukkan lagi harga CPO dalam pasaran global.

Katanya, kenaikan CPO akan diikuti dengan kenaikan harga produk pengganti seperti minyak kanola, minyak zaitun dan minyak kelapa.

Susulan pengumuman yang dilakukan Jakarta, harga minyak kacang soya iaitu minyak sayuran kedua paling banyak digunakan selepas minyak sakit meningkat sehingga 4.5 peratus.

Beberapa pasar raya di United Kingdom (UK) pula mengumumkan mereka akan mengehadkan pembelian minyak zaitun dan bunga matahari kepada dua atau tiga bungkus bagi setiap pelanggan.

“Larangan eksport ini akan menjejaskan pengeksport dan pengimport.

“Ia juga merupakan pendekatan akhir yang tidak bagus untuk Indonesia dan Malaysia, selain boleh menjejaskan kepercayaan global terhadap Indonesia,’ katanya.

 

KEPUTUSAN TEPAT

Jika ramai berpendapat langkah tersebut boleh menjejaskan banyak pihak, penganalisis di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia, Agus Eko Nugroho menegaskan ia merupakan keputusan yang wajar kerana kerajaan mengutamakan kepenggunaan rakyat.

“Saya tidak rasa larangan itu dilaksanakan secara tiba-tiba kerana kerajaan mempunyai kewajiban pasaran domestik yang memerlukan sektor perniagaan mengutamakan bekalan pasaran domestik.

“Krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 mulai reda dan Indonesia perlu mengekalkan momentum pemulihan pada tahun ini.

“Namun, tekanan inflasi makanan global boleh mengurangkan penggunaan dalam isi rumah miskin di Indonesia, sekali gus meningkatkan lagi kadar kemiskinan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya