RIYADH: Kerajaan Arab Saudi dilaporkan sudah meluluskan kuota kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji ke Tanah Suci Mekah pada tahun ini.
Memetik laporan Saudi Gazette, menurut sumber, Indonesia yang memiliki penduduk Islam paling ramai, diperuntukkan kuota haji paling tinggi.
Jelas sumber, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memperuntukkan kuota seramai 100,051 jemaah bagi Indonesia.
Pakistan berada di tempat kedua dengan kuota haji diperuntukkan seramai 81,132 jemaah, diikuti dengan India seramai 79,237 jemaah.
“Bangladesh akan menghantar jemaah haji keempat terbesar dengan kuota 57,585,” jelas sumber itu.
Bagi negara Afrika pula, Angola berada di bahagian bawah senarai dengan jumlah paling rendah iaitu 23 jemaah.
Di antara negara-negara Afrika, Nigeria mendapat bahagian terbesar iaitu seramai 43,008 jemaah.
Bagi negara Arab pula, Mesir mendahului dengan 35,375 jemaah haji manakala kuota diperuntukkan untuk Iran seramai 38,481 dan Turki (37,770 jemaah).
Tambah sumber itu, kuota haji diperuntukkan untuk Amerika Syarikat (AS) adalah seramai 9,504 manakala Russia (11,318), China (9,190), Thailand (5,885) dan Ukraine (91).
Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan jemaah haji asing merangkumi 85 peratus daripada jumlah sejuta jemaah yang dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini.