KVIY: Ukraine mendakwa pencerobohan Rusia sudah memusnahkan kira-kira 30 peratus infrastruktur di negara itu dengan kos kerugian dianggarkan bernilai AS$100 bilion (RM425.4 bilion).
Lapor Al Jazeera, Menteri Pembangunan Ukraine, Oleksandr Kubrakov berkata, peperangan tersebut menjejaskan 20 hingga 30 peratus infrastruktur negara itu dengan tahap kerosakan dan kemusnahan yang berbeza.
Menurut Kubrakov, lebih 300 jambatan di jalan raya musnah atau rosak manakala lebih 8,000 kilometer (km) jalan lagi terpaksa dibaik pulih atau dibina semula.
Katanya, puluhan jambatan kereta api pula telah diletupkan.
“Semua ini hanya boleh dibina semula dalam masa dua tahun sekiranya kerja-kerja dilakukan dengan segera,” katanya kepada Reuters.
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan, Datuk Bandar, Vadym Boychenko mendakwa kira-kira 40,000 penduduk Mariupol dipindahkan secara paksa ke Rusia atau wilayah dikawal Moscow di Ukraine.
“Saya terpaksa mengumumkan bahawa mereka sedang memindahkan penduduk secara paksa.
“Kami mengesahkan menerusi data pendaftaran perbandaran bahawa lebih 40,000 penduduk sudah dipindahkan,” katanya dalam siaran televisyen.
Bagaimanapun, Rusia menafikan dakwaan pihaknya menyasarkan orang awam di Ukraine.