LONDON: Seorang wanita Islam menaruh harapan untuk menjadi ahli politik pertama di Britain yang memakai niqab.
Lapor Metro UK, Fajila Patel, 36, berkata, dia mahu menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita menceburi bidang politik termasuk yang tampil dengan imej bertudung.
Ibu empat anak itu bakal bertanding dalam pilihan raya di Blackburn.
Sekiranya berjaya, beliau akan menjadi ahli majlis Konservatif pertama di United Kingdom yang memakai niqab.
Wanita itu mendapat sokongan kuat daripada suaminya, Tiger Patel yang juga merupakan ahli parti tersebut.
Fajila berkata, dia tidak bimbang tentang Islamofobia dalam parti itu, walaupun laporan Mei tahun lalu menyatakan sentimen anti-Muslim tetap menjadi masalah utama dalam kalangan ahli.
Beliau menyelar kenyataan yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang membandingkan golongan wanita yang memakai tudung dengan niqab kelihatan seperti ‘kotak surat’ dan ‘perompak bank’ yang sangat tidak boleh diterima.
“Saya tidak bersetuju dengan semua kenyataan yang pernah dilakukan oleh ahli politik dalam Parti Konservatif mengenai Islam.
“Biarpun sesetengah komen tidak boleh dipertahankan, namun saya mahu membuktikan seorang wanita Islam mampu membuat perubahan,” katanya.
Fajila malah menjelaskan tujuannya bertanding untuk memecah dominasi golongan lelaki dalam politik tempatan.
“Sebab utama saya bertanding dalam pilihan raya adalah untuk memecahkan halangan dan penguasaan jantina tertentu dalam politik.
“Saya juga mahu memberikan inspirasi kepada wanita lain agar tampil ke hadapan dan berdiri dengan yakin sebagai ahli majlis,” katanya.