PARIS: Individu yang mempunyai imuniti hibrid hasil vaksinasi lengkap dan pernah dijangkiti Covid-19 didakwa mempunyai perlindungan paling kuat daripada virus maut itu.
Satu daripada dua kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet Infectious Diseases menganalisis data kesihatan lebih 200,000 orang pada 2020 dan 2021 di Brazil yang merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia akibat Covid-19.
Kajian itu menunjukkan, golongan yang menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan AstraZeneca menawarkan 90 peratus perlindungan daripada kemasukan ke hospital dan kematian.
Vaksin CoronaVac keluaran China pula memberikan perlindungan sehingga 81 peratus dan vaksin Johnson & Johnson yang hanya memerlukan satu dos suntikan berkesan sebanyak 58 peratus.
“Keempat-empat vaksin ini terbukti dapat memberikan perlindungan tambahan ketara bagi mereka yang sudah dijangkiti Covid-19 sebelum itu,” kata pengarang kajian, Julio Croda dari Universiti Persekutuan Mato Grosso do Sul.
Dalam pada itu, Pramod Kumar Garg dari Institut Sains dan teknologi Kesihatan Translasi India dalam satu ulasan berkaitan kajian itu menyatakan kekebalan hibrid akibat pendedahan kepada jangkitan semula jadi dan vaksinasi berkemungkinan menjadi norma di seluruh dunia.
“Keadaan itu boleh memberikan perlindungan jangka panjang walaupun terhadap varian baharu yang muncul,” ujarnya.
Sementara itu, kajian menggunakan daftar seluruh negara Sweden sehingga Oktober 2021 mendapati bahawa orang yang pulih daripada COVID-19 mengekalkan tahap perlindungan yang tinggi terhadap jangkitan semula sehingga 20 bulan.
Orang yang mempunyai imuniti hibrid dua dos vaksin mempunyai risiko jangkitan semula 66 peratus lebih rendah daripada mereka yang hanya mempunyai imuniti semula jadi. – AFP