RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pentadbirannya campur tangan menghentikan tindakan Israel di wilayah Palestin, terutamanya di Baitulmuqaddis Timur.
Mahmoud membuat permintaan itu hari ini ketika mengadakan pertemuan dengan Pemangku Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Barat, Yael Lambert dan Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Israel dan Hal Ehwal Palestin, Hady Amr, di bandar Ramallah Tebing Barat.
Abbas memberitahu dua wakil AS, Israel perlu segera menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin dan menghormati sepenuhnya undang-undang dan sejarah Masjid Al-Aqsa.
Beliau menjelaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap situasi yang semakin meruncing di wilayah Palestin, terutamanya di Baitulmuqaddis Timur dan di Masjid Al-Aqsa.
“Keengganan Israel menghentikan tindakan unilateral dan mematuhi perjanjian yang ditandatangani, membenarkan pemimpin Palestin melaksanakan keputusan Majlis Pusat PLO dalam masa terdekat.
“Peningkatan pencerobohan Israel di kawasan bandar, kampung dan kem Palestin, pembunuhan rakyat serta serangan kejam di Tebing Barat akan membawa akibat lagi buruk,” katanya lapor Agensi Berita Palestin, WAFA.










