KARAWANG: Pengendali syarikat haji dan umrah berharap Kerajaan Indonesia melobi Arab Saudi agar kuota haji negara ini bertambah 50 peratus berbanding kuota 2019.
Lapor Kompas.com, Ketua Umum Kebersamaan Pengusaha Haji dan Umrah (Bersatu), Wawan Suhada berharap, kuota haji Indonesia bertambah berbanding kuota haji tiga tahun lalu melibatkan 231,000 jemaah.
Katanya, Indonesia layak menerima keistimewaan itu disebabkan keunikan negara ini.
“Indonesia merupakan antara negara Islam terbesar di dunia dan bilangan masyarakat mengerjakan ibadah haji adalah sangat tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi kebenaran seramai sejuta jemaah haji berangkat ke negara itu, bagi musim haji tahun ini.
Namun, Wawan berkata, angka itu menurun sangat drastik berbanding sebelum pandemik Covid-19, 2019, yang mencecah 2.5 juta jemaah.
Selain kuota haji, Wawan berharap pihak kerajaan melobi Riyadh mengenai soal usia jemaah haji yang ditetapkan tidak melebihi 65 tahun ke atas.
“Setidaknya had umur maksimum jemaah haji ditingkatkan kerana majoriti jemaah haji lebih banyak berusia 65 tahun ke atas,” katanya.
Sehingga kini, belum ada sebarang ketetapan mengenai kuota haji bagi jemaah Indonesia.










