BEIJING: Sebuah bangunan perniagaan setinggi enam tingkat di bandar Changsha, China, runtuh, tengah hari tadi.
Pasukan penyelamat berkejar mencari mangsa yang terperangkap di dalam bangunan yang menempatkan sebuah restoran, rumah tamu dan pawagam.
Video yang ditayangkan media tempatan menunjukkan kepulan debu menyelubungi jalan raya serta pagar rosak akibat timbunan runtuhan di tapak bangunan itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, meskipun syarikat CGTN menyatakan terdapat individu yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
Menurut CCTV, pekerja jabatan kecemasan dan kebakaran dikejarkan ke tempat kejadian.
Insiden bangunan runtuh sering berlaku di China, disebabkan piawaian keselamatan yang lemah dan amalan rasuah dalam kalangan pegawai penguatkuasaan.
Januari lalu, letupan akibat kebocoran gas menyebabkan sebuah bangunan runtuh di bandar Chongqing yang meragut lebih 12 nyawa.
Sementara itu, 25 orang maut dalam letupan gas di kawasan kediaman dua tingkat, Jun 2021.-AFP