JAKARTA: Organisasi Pengangkutan Darat Indonesia (Organda) menjangkakan berlaku kenaikan harga tiket bas kelas ekonomi menjelang Aidilfitri pada tahun ini.
Ketua Umum Organda Cawangan Jakarta, Shafruhan Sinungan berkata, harga tiket bas itu dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus daripada harga semasa.
Katanya, keputusan untuk menaikkan harga tiket bas ekonomi belum dimuktamadkan, namun memberi gambaran tidak mustahil perkara itu (kenaikan) berlaku.
Beliau menjelaskan, kenaikan harga tiket kebiasaannya didorong oleh pertambahan permintaan kerana dijangka lebih ramai masyarakat pulang ke kampung untuk beraya pada tahun ini.
“Selain itu, pandemik Covid-19 yang masih berlaku juga menyebabkan lebih banyak bas perlu digunakan.
“Organda akan mengadakan perbincangan dengan Direktorat Jenderal Perhubungan Darat, Kementerian Perhubungan mengenai harga tiket bas sebelum sebarang keputusan ditetapkan,” katanya kepada Kompas.com.
Jelas Shafruhan, keputusan kenaikan harga tiket bas itu akan diketahui sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang.
Katanya, kenaikan harga tiket bas juga akan ditentukan oleh kerajaan dan kebiasaannya dibenarkan semasa musim perayaan.
“Kami menjangkakan pembelian tiket bas akan memuncak sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.
Sementara itu, kenaikan harga tiket bas bagi kelas perniagaan dan eksekutif pula bergantung kepada syarikat pengendali bas masing-masing.