KYIV: Nasib Ukraine bagaikan lulus tidak berselam, hilang tidak bercari selepas negara Barat enggan memberikan pertolongan.
Negara Barat bukan sahaja bacul, malah Ukraine kini terpaksa mengharapkan China bagi mendesak Rusia menghentikan serangan.
Rayuan terhadap China itu dibuat oleh penasihat kanan Presiden Ukraine, Mikhailo Podolyak.
Jelasnya, China boleh memainkan peranan penting dalam konflik keselamatan global.
“Sekiranya China berhasrat membuat keputusan yang tepat bagi menyokong gabungan negara-negara bertamadun untuk mengutuk kebiadaban Rusia,” ciapnya dalam Twitter.
China bagaimanapun enggan mengutuk tindakan Rusia, ketika negara Barat bersatu menentang pencerobohan di Ukraine yang hampir mencecah sebulan.
SERANGAN PELURU BERPANDU
Sabtu lalu, Kyiv meminta Beijing menyertai Barat mengutuk ‘kebiadaban Rusia’ selepas Moscow mendakwa berjaya menyerang depoh persenjataan Ukraine dengan peluru berpandu hipersonik yang akan menjadi penggunaan pertama dalam pertempuran senjata generasi akan datang.
Serangan yang tidak jauh dari sempadan barat Romania itu berlaku ketika tentera Rusia berjaya mematahkan pertahanan Ukraine untuk memasuki selatan bandar pelabuhan Mariupol.
Rusia mengumumkan serangan itu menggunakan peluru berpandu baharu Kinzhal.
Jurucakap Tentera Udara Ukraine, Yuri Ignat berkata, depoh persenjataan di kampung Deliatyn di barat negara itu, sudah diserang dan pihaknya tidak mempunyai maklumat tentang jenis peluru berpandu yang digunakan.
Beliau juga memaklumkan Ukraine telah kehilangan akses sementara ke Laut Azov, selepas Rusia mengawal kawasan pantai selama beberapa minggu selepas mengepung bandar Mariupol.
Presiden Rusia, Vladimir Putin yang pernah melancarkan peluru berpandu Khinzal pada 2018, menyebutnya sebagai ‘senjata ideal’ yang mampu terbang dengan kelajuan 10 kali ganda daripada kelajuan bunyi sekali gus menjadikannya sangat sukar dipintas oleh pertahanan peluru berpandu.
Semalam, Rusia sekali lagi memaklumkan tenteranya melancarkan peluru berpandu Khinzal di barat Ukraine.
KONFRONTASI GLOBAL
Jumaat lalu, Beijing memberitahu Washington perang itu ‘bukan demi kepentingan sesiapa’.
China bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda mengalah kepada tekanan untuk menyertai Barat mengecam tindakan Rusia.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memberi amaran kepada rakan sejawatannya, Xi Jinping mengenai ‘akibat’ yang akan diterima jika berlaku sebarang bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Rusia.
Sebarang tindakan yang diambil boleh memecah kebuntuan menjadi konfrontasi global.
Sementara itu, Putin pula dilihat tidak gentar dengan sebarang ancaman atau sekatan selanjutnya dari mana-mana negara.
Sebaliknya, pemimpin itu mengadakan perhimpunan kemenangan di Moscow Jumaat lalu, bagi menandakan ulang tahun kelapan sejak Rusia merampas Crimea.
Putin berkata, matlamatnya di Ukraine adalah bagi ‘membebaskan penduduk daripada sebarang penderitaan dan pembunuhan beramai-ramai’.
Rusia berulang kali menegaskan Ukraine perlu melakukan gencatan senjata dan menolak semua pakatan Barat dengan melepaskan diri daripada menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mahupun mencari integrasi lebih rapat dengan Kesatuan Eropah. – AFP