Tidak mustahil Perang Dunia Ketiga boleh berlaku

Tidak mustahil Perang Dunia Ketiga boleh berlaku

SEORANG wanita berjalan melintasi bangunan musnah akibat serangan peluru berpandu Rusia di pekan Vasylkiv, berhampiran Kyiv, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Beberapa letupan kedengaran di Kyiv dan bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv sepanjang pagi semalam ketika pasukan tentera Ukraine dan Rusia saling bertempur dan berbalas serangan.

Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan, keadaan di Kyiv sedikit tenang berbanding sebelum ini, namun Presidennya, Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa negara ini berdepan tempoh 24 jam akan datang yang paling getir.

Hal ini kerana, Rusia dijangka melancarkan serangan pada skala besar selepas Presiden Vladimir Putin mengarahkan pasukan nuklearnya bersiap siaga.

Sejumlah imej satelit menunjukkan konvoi tentera Rusia membuat persediaan untuk memasuki Kyiv, biarpun pegawai di kedua-dua kerajaan sudah bersedia melakukan rundingan damai di sempadan Belarus.

Imej satelit yang didedahkan oleh Maxar Technologies itu menunjukkan ratusan jentera tentera Rusia bergerak menuju ke Kyiv dengan anggaran jarak 64 kilometer sebelum tiba ke ibu kota ini.

Sehubungan itu, beberapa pemimpin Barat dan Eropah, termasuk Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberi jaminan untuk membantu Ukraine ‘semampu yang boleh’ dengan menghulurkan pelbagai bantuan segera.

Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen juga menekankan Ukraine akan sentiasa mendapat sokongan EU dan pihaknya mengenakan beberapa lagi sekatan baharu terhadap Rusia, termasuk menutup ruang udaranya kepada semua pesawat negara itu dan mengharamkan media Rusia.

 

PERANG DUNIA KETIGA

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko memberi amaran mengenai sekatan yang dikenakan oleh Barat terhadap Rusia boleh mengheret Kremlin untuk melancarkan ‘Perang Dunia Ketiga’.

“Ketika ini, terlalu banyak sekatan dikenakan terhadap Rusia. Sekatan perbankan, media, minyak dan gas serta pelbagai lagi, malah boleh dikatakan lebih teruk berbanding perang yang berlaku.

“Ini boleh mendorong Rusia untuk melancarkan Perang Dunia Ketiga dan sehubungan itu, kita perlu elakkan sebarang kemungkinan yang ada kerana kita tidak mahu lebih banyak masalah timbul.

“Perang nuklear merupakan pengakhiran buat segala-galanya,” tegas Lukashenko.

Sebelum ini, beberapa sumber memaklumkan Belarus berkemungkinan menghantar pasukan tenteranya ke Ukraine untuk membantu tentera Rusia menawan Kyiv.

Namun, Belarus sehingga kini tidak mengulas lanjut berhubung dakwaan tersebut.

 

KECAMAN NATO, AS

Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengutuk Putin yang mengarahkan supaya pasukan nuklearnya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk melancarkan serangan.

AS dan NATO menyifatkan arahann itu sebagai berbahaya dan tidak boleh diterima langsung.

Putin menerusi ucapan yang disiarkan di televisyen menyifatkan Barat sengaja ‘bermain dengan api’ apabila mengenakan sekatan besar-besaran.

“Barat bukan sahaja mengenakan tindakan yang ‘tidak mesra’ terhadap ekonomi Rusia, NATO juga mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya mengenai negara kita,” ujar Putin.

Selain itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield menegaskan, Washington akan sentiasa mencari jalan untuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Rusia.

Dalam pada itu, Ketua NATO, Jens Stoltenberg menyifatkan Putin tidak bertanggungjawab apabila mengarahkan pasukan nuklearnya supaya bersiap sedia.

 

RUNDINGAN DAMAI

Dalam pada itu, Zelensky memaklumkan delegasi Ukraine dan Rusia akan mengadakan pertemuan berhampiran Sungai Pripyat yang terletak ke utara Chernobyl untuk rundingan.

Bagi menjayakan rundingan itu, Lukashenko memberi jaminan bahawa semua pesawat, helikopter dan stesen peluru berpandu ‘tidak akan diaktifkan’ sehingga rundingan selesai. 

Sementara itu, Zelensky menyatakan beliau tidak yakin rundingan itu akan berjaya, namun beliau mahu membuktikan kepada rakyat Ukraine bahawa niatnya adalah satu, iaitu menghentikan perang secepat mungkin.

“Saya tidak mahu seorang pun rakyat Ukraine beranggapan saya tidak berusaha sehabis mungkin untuk menghentikan peperangan ini,” tegasnya. – REUTERS/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya