ISTANBUL: Kerajaan Taliban semalam menubuhkan satu suruhanjaya untuk menggalakkan rakyatnya yang berada di luar negara untuk kembali semula ke tanah air.
Jurucakap Taliban, Dr. Muhammad Naeem berkata, suruhanjaya itu bakal diketuai Menteri Mineral dan Petroleum, Sheikh Shahabuddin Delawar.
Lapor agensi berita Anadolu, surunjaya itu diberi nama Suruhanjaya Penghantaran Pulang dan Hubungan Afghanistan dan akan berhubung dengan rakyatnya yang meninggalkan negara itu supaya mereka boleh kembali ke tanah air.
“Suruhanjaya itu terdiri dari enam anggota dan persetujuan penubuhannya dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Mullah Mohammad Hassan Akhand,” kata Sheikh Shahabuddin.
Ribuan penduduk Afghanista berada di luar negara akibat konflik berpanjangan di negara itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menilai situasi keselamatan di Afghanistan semakin baik, selain kerajaan Taliban juga memberi jaminan semua perkara akan terkawal.
Namun, Afghanistan ketika ini berdepan dengan krisis kemanusiaan, terutamanya kebuluran dan keadaan itu diburukkan dengan tindakan Amerika Syarikat menyekat rizab asing Afghanistan.
Kerajaan Taliban sehingga kini masih belum memperoleh pengiktirafan antarabangsa.