TEHRAN: Sambutan Chaharsanbe Suri atau Pesta Api di Iran mengorbankan 11 orang termasuk 486 yang lain cedera.
Jurucakap Pertubuhan Kecemasan Iran, Mojtaba Khaledi berkata, daripada jumlah itu, 49 daripadanya terpaksa dipotong kaki akibat mengalami kecederaan parah.
Jelasnya, jumlah mangsa meningkat 47 peratus dalam tempoh empat hingga lima hari, berbanding tahun lalu.
Pesta Api disambut oleh rakyat Iran pada malam Rabu terakhir sebelum Nowruz, iaitu tahun baharu Iran yang bermula 21 Mac depan.
Perayaan yang bermula sejak beberapa hari lalu, mencapai kemuncaknya petang semalam.
Rakyat Iran meraikan Pesta Api dengan melompat ke atas unggun api dan menggunakan mercun di tempat awam.
Upacara itu dilakukan simbolik meninggalkan tahun lama dan menyambut kedatangan tahun baharu.-AGENSI