Penjawat awam bimbang masa depan di Nusantara

Penjawat awam bimbang masa depan di Nusantara, ragu-ragu untuk berpindah

ILUSTRASI reka bentuk istana presiden Indonesia di Kalimantan Timur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ketika Indonesia bersiap sedia untuk memindahkan ibu negara baharu iaitu dari Jakarta ke Kalimantan Timur, segelintir penjawat awam dilaporkan berasa keberatan untuk berpindah.

Memetik laporan Channel News Asia, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Dwi berasa bimbang mengenai kerjaya dan masa depannya keluarganya.

Dwi yang merupakan ibu kepada tiga orang anak, mengakui tidak berhasrat untuk berpindah dari Jakarta ke Kalimantan Timur yang berjarak kira-kira 2,000 kilometer.  

“Sehingga kini, saya tidak pasti sama ada langkah itu adalah terbaik untuk saya.

“Salah satu kebimbangan saya adalah bagaimana pula dengan nasib suami saya bekerja di Jakarta ? Kata wanita berusia 36 tahun yang menjadi penjawat awam selama 11 tahun.   

Dwi juga khuatir mengenai masa depan tiga orang anaknya yang berusia antara dua hingga sembilan tahun selepas berpindah ke ibu negara baharu itu.

Dwi bukannya satu-satunya penjawat awam yang teragak-agak untuk berpindah ke Nusantara.

Laporan media mengenai kakitangan awam yang membantah perpindahan ke Nusantara juga timbul sejak kebelakangan ini.

PROSES pemindahan ibu negara baharu ke Kalimantan Timur dilakukan bagi mengurangkan kepadatan di Jakarta. – AFP

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menandatangani Rang Undang-Undang berkaitan pemindahan ibu negara baharu yang sudah menjadi undang-undang pada 15 Februari lalu.

Perkara itu jelas menunjukkan kakitangan awam perlu berpindah dari Jakarta ke ibu negara baharu, Nusantara.

Menurut pihak berkuasa, langkah itu perlu untuk menyelamatkan Jakarta yang sesak serta meningkatkan pembangunan di Kalimantan dan timur Indonesia.

Katanya, inisiatif itu penting memandangkan kebanyakan aktiviti ekonomi negara hanya tertumpu di Jawa.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam dikenali sebagai Jason Kusuma, 40, berasa bimbang mengenai pendidikan anak-anaknya.

“Saya menjaga seorang anak yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan dia memerlukan rawatan tertentu,” kata Jason yang bimbang ibu negara baharu mungkin tidak mempunyai kemudahan diperlukan anaknya.

Selain itu, Jason sebagai anak sulung bertanggungjawab menjaga ibu bapanya yang uzur di Jakarta.

Katanya, dia terpaksa mengambil pilihan terakhir sekiranya tiada cara lain untuk menarik diri daripada penempatan semula.

“Saya mungkin meletak jawatan. Itu antara dalam senarai pilihan saya namun saya mahu menunggu dan melihat mengenai perkembangan tersebut,” katanya. 

Seorang lagi bekas penjawat awam, Budi Darmawan bertindak meletak jawatan tahun lalu selepas yakin perpindahan ibu negara baharu akan berlaku.

 

PERPINDAHAN WAJIB MENGIKUT UNDANG-UNDANG

Beberapa individu dalam kalangan pegawai tentera dan polis dikatakan enggan berpindah ke Kalimantan Timur.

Baru-baru ini, Jokowi ketika berucap pada mesyuarat tahunan kepimpinan tentera dan polis menegaskan pegawai tidak sama sekali harus mempertikaikan tindakan kerajaan yang diputuskan menerusi cara demokrasi seperti isu perpindahan ibu negara baharu.

“Sebagai contoh, isu perpindahan ibu negara baharu, ada pegawai yang menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

“Ia sudah diputuskan oleh kerajaan dan diluluskan di Parlimen.

“Justeru, mengikut disiplin tentera dan polis, perkara ini tidak boleh dipertikaikan lagi,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN