KYIV: Satu daripada bandar utama Ukraine akhirnya jatuh ke tangan Rusia selepas pertempuran sengit berlaku antara kedua-dua pasukan tentera sejak beberapa hari lalu.
Tentera Rusia dilaporkan berjaya menawa bandar Kherson yang terletak kira-kira 482 kilometer ke selatan Kyiv dan mempunyai sebanyak 290,000 penduduk.
Kedudukan bandar itu yang strategik berhampiran Laut Hitam menjadikannya sebagai taruhan utama tentera Ukraine.
Kejatuhan bandar itu ke tangan Rusia disahkan oleh Datuk Bandar Kherson, Igor Kolykhaiev.
Menerusi Facebook, beliau meminta semua penduduk Kherson supaya ‘mematuhi arahan tentera Rusia’ bagi mengelak situasi menjadi lebih buruk.
“Kami tidak mempunyai senjata dan tidak agresif. Kami akan bekerjasama dengan tentera Rusia bagi memastikan keselamatan semua pihak.
“Kami sudah pun berdepan kesukaran, jadi diminta semua penduduk supaya memberikan kerjasama yang baik,” tulisnya dalam Facebook.
Terdahulu, Kolykhaiev menafikan Rusia sudah menawan Kherson dan menegaskan bandar itu masih dalam kawalan Ukraine.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkongsi satu lagi video yang menggesa penduduk Ukraine supaya terus bersatu menentang penjajahan Rusia.
“Kita adalah pihak yang sudah bertungkus-lumus menentang pencerobohan pihak musuh sejak seminggu lalu.
“Mereka (tentera Rusia) tiada langsung tempat di negara kita. Mereka tidak akan mempunyai bekalan makanan atau apa pun,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai tentera Rusia yang didakwa berjaya menawa Kherson.
Selain Kherson, satu lagi bandar Ukraine iaitu Berdiansk turut ditawan tentera Rusia sebelum ini.
Ketika ini, tentera Rusia dilaporkan cuba menawan bandar kedua terbesar Ukraine iaitu Kharkiv.
Sementara itu, beberapa video menunjukkan pasukan tentera Rusia sudah memasuki Kherson. – AFP