Nahas pesawat di China: Peluang temukan mangsa terselamat tipis - Utusan Malaysia

Nahas pesawat di China: Peluang temukan mangsa terselamat tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines yang membawa seramai 132 penumpang dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di selatan China semalam.

Ketika kejadian, pesawat tersebut dalam penerbangan dari bandar Kunming ke Guangzhou, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

Pesawat terlibat merupakan model Boeing 737-800 dan setakat ini, jumlah kematian belum dikenal pasti.

Namun, berdasarkan pemantauan awal pasukan kecemasan yang tiba di lokasi kejadian, peluang untuk menemukan mangsa masih hidup adalah tipis.

Kawasan lokasi nahas diselubungi asap tebal akibat pesawat yang meletup dan terbakar.

Pihak berkuasa China juga belum mengenal pasti punca nahas melibatkan pesawat berusia enam tahun berkenaan.

Jelas CAAC, pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan ketika melalui bandar Wuzhou.

Terdapat seramai 123 penumpang dengan sembila kru dalam penerbangan tersebut.

“CAAC sudah mengaktifkan mekanisme kecemasan dan pasukan keselamatan dikerah ke lokasi untuk melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR),” jelas CAAC.

Pesawat tersebut berlepas dari bandar Kunming pada pukul 1.11 petang waktu tempatan dan terputus hubungan pada pukul 2.22 petang.

Pesawat itu mulanya dikesan terbang pada ketinggian 29,100 kaki dan selepas 2 minit 15 saat, kapal terbang berkenaan menurun 9,075 kaki.

Dalam tempoh 20 saat selepas itu, pesawat terbabit dikesan terbang pada ketinggian 3,255 kaki dan kelajuan 376 knot sebelum terputus hubungan.

Pesawat itu dijadualkan mendarat di Guangzhou pada pukul 3.05 petang.

Nahas itu kemudiannya disahkan oleh China Eastern menerusi gambar hitam putih yang disiarkan dalam laman webnya sebagai tanda berkabung atas insiden yang berlaku.

Menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan, kali terakhir China berdepan nahas pesawat adalah pada 2010 apabila 44 daripada 96 orang maut apabila pesawar Embraer E-190 milik Henan Airlines terhempas ketika hampir tiba di lapangan terbang Yichuan.

Insiden itu berpunca daripada jarak penglihatan yang terhad.

Pada 1992, pesawat 737-300 milik China Southern Airlines yang dalam penerbangan dari Guangzhou ke Guiling terhempas menyebabkan semua 141 penumpang terkorban. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya