NUSA TENGGARA BARAT: Perlumbaan MotoGP bermula secara rasmi di Litar Antarabangsa Mandalika hari ini, menyaksikan pelbagai persiapan rapi dibuat termasuk mengupah ‘pawang hujan’.
Perlumbaan dimulakan dengan Moto3 dan diikuti Moto2.
Sepanjang dua perlumbaan berlangsung, cuaca pada mulanya dalam keadaan baik namun menjadi semakin panas dari semasa ke semasa, menyebabkan pusingan perlumbaan disingkatkan dari 25 kepada 15 pusingan.
Selepas perlumbaan Moto2 selesai, hujan turun tiba-tiba iaitu setengah jam sebelum MotoGP bermula menyebabkan perlumbaan terpaksa dimulakan sedikit lewat daripada yang dijadualkan.
Sehubungan itu, ramai pengguna media sosial mempersoalkan ‘keupayaan pawang hujan yang dipertanggungjawabkan untuk menghalang hujan semasa perlumbaan berlangsung’.
Hal ini kerana, pawang hujan yang diupah untuk ‘menghalang hujan’ diberi bayaran lumayan.
Seorang daripada pawang hujan yang sering digunakan khidmatnya dalam beberapa acara besar adalah Rara Isti Wulandari.
Pada 2018, khidmat Rara pernah digunakan untuk menghalang hujan semasa berlangsungnya pembukaan Sukan Asia.
Menerusi Facebook, Rara pernah menunjukkan jumlah bayaran yang diterimanya dengan menjadi pawang hujan.
Biarpun tidak menunjukkan nombor depan, namun pengguna media sosial dapat mengagak jumlah yang diterima Rara bernilai lebih jutaan rupiah.
Seorang daripada pengguna media sosial menulis ‘sudah bayar mahal-mahal, hujan masih turun, macam mana ini?’