KYIV: Pasukan tentera Rusia dilaporkan terus mara di sejumlah bandar di Ukraine, terutamanya di bandar pelabuhan Mariupol.
Kemaraan itu menyaksikan pertempuran antara kedua-dua pasukan tentera terus berlangsung, sekali gus menyukarkan bantuan disalurkan kepada bandar-bandar yang terjejas.
Di Moscow, Kementerian Pertahanan memaklumkan pasukan tentera Rusia berterusan melancarkan serangan darat, selain anggota kumpulan pemisah pro-Rusia dilaporkan sudah tiba di bandar Severodonetsk yang dihuni kira-kira 100,000 penduduk.
Kementerian itu juga menyatakan lapangan terbang di bandar Vasylkiv di selatan Kyiv musnah dalam pertempuran.
Bandar Irpin dan Bucha turut berdepan situasi genting abila ‘terus dihujani peluru dan bom’ ketika pasukan tentera Ukraine bertahan menghadapi serangan Rusia.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko memberitahu bandar itu kini sudah dikepung sepenuhnya oleh Rusia.
Katanya, keadaan itu menyukarkan proses bantuan bekalan makanan dan ubatan kepada penduduk yang terjejas.
“Kami tidak akan mengalah dan terus berjuang untuk tanah air biarpun keadaan sukar.
“Kini, sejumlah bas digunakan untuk membawa keluar penduduk ke kawasan selamat,” katanya dalam satu video.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,500 penduduk awam terkorban di Mariupol dalam tempoh 12 hari lalu dan pihak berkuasa Ukraine menyifatkan keadaan di bandar itu sebagai ‘malapetaka kemanusiaan’.
Perkara itu turut disokong oleh Rusia yang memaklumkan situasi kemanusiaan di Ukraine semakin merosot dan keadaan di beberapa bandar sudah terlalu teruk.
“Keadaan semakin tidak terkawal di beberapa bandar dan krisis kemanusiaan juga semakin teruk,” kata Ketua Pusat Kawalan Pertahanan Kebangsaan Rusia, Mikhail Mizintsev.
Konvoi kemanusiaan yang membawa 90 tan bekalan makanan dan ubatan meninggalkan bandar Zaporizhzhia menuju ke Mariupol dan pelbagai berharap konvoi itu selamat tiba ke destinasinya.
Sementara itu, pasukan tentera dan penduduk Ukraine tetap optimis bahawa Rusia tidak akan dapat menawan Kyiv, sekali gus menakluk keseluruhan negara ini. – AFP