Lebih 800 ditahan dalam protes Ukraine di seluruh Rusia - Utusan Malaysia

Lebih 800 ditahan dalam protes Ukraine di seluruh Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Polis Rusia menahan lebih 800 orang yang menyertai protes membantah operasi ketenteraan Moscow di Ukraine.

Angka itu didedahkan oleh sebuah badan pemantau bebas ketika konflik Rusia-Ukraine memasuki minggu ketiga.

Menurut OVD-Info, seramai 817 penunjuk perasaan ditahan ketika demonstrasi di 37 bandar di Rusia.

Seorang wartawan AFP yang melaporkan dari lokasi protes di Moscow menyaksikan sekurang-kurangnya 12 penahanan.

Wartawan itu memberitahu polis turut menahan mana-mana individu tanpa pas media.

“Seorang wanita melaungkan slogan keamanan dunia ketika dibawa pergi oleh dua anggota polis,” katanya.

Jelas wartawan, beberapa polis rusuhan mengenakan topi keselamatan yang tertera huruf `Z’ dalam warna bendera Rusia di protes tersebut.

“Huruf itu yang turut dilihat pada kebanyakan kereta kebal dan kenderaan Rusia di Ukraine menjadi simbol sokongan `operasi ketenteraan khas’,” katanya.

Sementara itu, penguatkuasa undang-undang di Moscow memaklumkan pihaknya menahan kira-kira 300 orang di ibu negara tersebut kerana melanggar perintah ketenteraman awam.

Di bandar Saint Petersburg, AFP menyaksikan beberapa penahanan termasuk seorang penunjuk perasaan diheret oleh polis.

Menurut AFP, beberapa wartawan turut ditahan.

Minggu lalu, polis menahan lebih 5,000 penunjuk perasaan di seluruh Rusia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN