KYIV: Sebuah lapangan terbang tentera Ukraine di selatan Kyiv dilaporkan terkena serangan peluru berpandu Rusia.
Datuk Bandar Vasylkiv berkata, serangan itu memusnahkan landasan dan depoh bahan api serta menyebabkan letupan di sebuah stor peluru.
Video yang disiarkan dalam media sosial menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul dari lapangan terbang.
Di tempat lain di Ukraine, bandar utara Chernihiv yang terkepung telah menyaksikan serangan tembakan secara bertubi-tubi.
Tiada bekalan air di bandar, dan sebahagian daripadanya tidak mempunyai bekalan elektrik.
Pelabuhan selatan Mykolaiv, yang terletak di antara bandar Kherson yang diduduki Rusia dan bandar ketiga terbesar di Ukraine, Odessa, turut menyaksikan serangan berterusan.
Sebuah hospital kanser juga dilaporkan terkena serangan, walaupun laporan awal menunjukkan ia tidak mengalami kerosakan yang serius.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk, berharap Rusia akan mematuhi gencatan senjata bagi membolehkan pergerakan keluar penduduk dari kawasan bandar yang terkepung.
Katanya, Ukraine merancang untuk memindahkan penduduk di beberapa bandar dan kampung di wilayah Kyiv dan Sumy serta beberapa kawasan lain, di mana pertempuran terus berlaku.
“Saya berharap hari ini akan berjalan lancar, semua laluan yang dirancang akan dibuka dan Rusia akan memenuhi kewajipannya untuk menjamin gencatan senjata,” kata Vereshchuk melalui video.
Beberapa kawasan bandar dan kampung di Ukraine termasuk dari pelabuhan selatan Mariupol yang terkepung dibuka hari ini supaya orang awam boleh meninggalkan kawasan mereka.-BBC










