BANGKOK: Ketua Polis Negara memaklumkan punca sebenar kematian pelakon Nida Patcharaveerapong adalah disebabkan kemalangan berdasarkan bukti yang ditemukan di lokasi kematian mangsa di Sungai Chao Phraya.
Lapor Thethaiger, Suwat Jangyodsook berkata, hasil laporan bedah siasat menunjukkan pelakon yang turut dikenali sebagai Tangmo mati akibat lemas.
Mengenai luka besar pada bahagian paha kanan dan kesan calar di kaki kiri mendiang, katanya, ia berkemungkinan akibat kipas bot laju tersebut.
“Lebih banyak keputusan ujian forensik akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi,” jelasnya.
Minggu lalu, pasukan penyelamat menemukan mayat pelakon Thailand berusia 38 tahun di sungai tersebut, selepas mangsa menaiki perahu bersama lima lagi rakannya.
Mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari Jeti Pibul Songkram 1, dua hari selepas dia terjatuh dari bot laju.
Difahamkan, Tangmo yang tidak memakai jaket keselamatan duduk di bahagian belakang sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.
Pegawai bahagian Forensik Hospital Umum Polis, Naphat Natthasumon mengesahkan kematian Tangmo akibat lemas kerana terdapat lumpur pada bahagian paru-paru.
Sejak insiden kematian itu, seramai 29 saksi dipanggil oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Dua individu didakwa atas kesalahan beroperasi menggunakan bot tidak berdaftar sehingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, Jangyodsook turut mengarahkan pasukan penyiasat memeriksa bukti lain seperti data rekod sistem navigasi GPS dari bot laju, telefon bimbit dan kelajuan bot tersebut.
Minggu lalu, kesemua lima individu yang menaiki bot laju bersama pelakon itu berkemungkinan menghadapi pertuduhan kecuaian yang membawa kepada kematian mangsa.
Sumber polis memberitahu, mereka juga disyaki memberi kenyataan palsu kepada polis.
Lima individu itu ialah pengurus Tangmo, Idsarin Gatick Juthasuksawat, Wisapat Pasir Manomairat, Nitas Job Kiratissoothisathorn, pemilik bot, Tanupat Por Lerttaweewit dan Phaiboon Robert Trikanjananun.
Bukti baharu muncul apabila Bahagian Penindasan Jenayah Teknologi (TCSD) mengesan telefon bimbit Tanupat.
Berdasarkan kandungan dalam peranti itu, Tanupat mengaku kepada salah seorang daripada beberapa individu yang dia memberitahu Phaiboon memandu bot laju ketika Nida terjatuh, kata sumber di Polis Wilayah 1.
Dalam lakonan semula yang lain, polis merancang untuk menaiki bot sama di sungai untuk mensimulasikan perjalanan dengan cara seperti yang berlaku pada malam kejadian.
Kematian Tangmo mencetuskan spekulasi apabila video terakhir yang dirakam pengurusnya menjadi petunjuk baharu bagi merungkai kematian aktres Thailand itu.
Video yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok itu menunjukkan Tangmo sedang memegang gelas minuman sambil menyanyikan lagu dan mengusap rambutnya.
Meskipun video itu diiringi dengan bunyi muzik latar, namun warga maya dapat mendengar suara lelaki misteri di sebalik rakaman berkenaan.
Suara itu seakan-akan menjerit meminta seseorang membawa mangsa ke bahagian belakang bot sebanyak dua kali.