Jemaah dibenarkan solat rapat saf di Masjidilharam

Jemaah dibenarkan solat rapat saf di Masjidilharam

JEMAAH menunaikan solat rapat saf di Masjidilharam selepas Arab Saudi menarik semua sekatan Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Para jemaah umrah kini dibenarkan menunaikan solat rapat saf di Masjidilharam selepas pihak berkuasa Arab Saudi menarik balik sekatan Covid-19 di negara itu.

Lapor Arab News, Pentadbiran Am Urusan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi mengaktifkan semula pelan operasi bagi membolehkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh  dilaksanakan.

Para jemaah dilihat kembali merapatkan saf selepas peraturan penjarakan sosial ditamatkan untuk solat dan tawaf.

Persiapan lain turut dilakukan oleh pentadbiran tersebut menjelang bulan Ramadan, dengan dijangka beberapa pelan operasi bagi aktiviti keagamaan akan ditetapkan dalam masa terdekat.

Pada malam sebelum penarikan sekatan Covid-19, Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Syeikh Abdul Rahman Al-Sudais mengesahkan pihaknya akan mewujudkan pelan baharu bertujuan menambah baik perkhidmatan kepada jemaah umrah serta pengunjung ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Sementara itu, jurucakap Pentadbiran Am Urusan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi, Hani Hosni Haidar berkata, pelan operasi yang dibangunkan akan digunakan di Dua Masjid Suci pada bulan Ramadan akan datang.

Pelan itu akan diumumkan pada 21 Mac ini dalam satu sidang akhbar bersama Syeikh Abdul Rahman yang mana beliau akan memperincikan butiran pelan itu dengan lanjut.

Jelas Hani Hosni, semua prosedur dan perkhidmatan yang digantung ketika pandemik Covid-19, kini sudah kembali dilaksanakan seperti biasa.

Ia termasuk menanggalkan pelekat jarak sosial dan membatalkan penjarakan sosial antara jemaah.

Selain itu, bekas air zamzam akan diletakkan semula di seluruh kawasan Majidilharam.

“Perkhidmatan kenderaan elektrik dan kerusi roda manual akan disambung semula serta pintu masjid dibuka untuk menerima jemaah dalam kapasiti penuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, para jemaah masih perlu memakai pelitup muka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN