JAKARTA: Kisah seorang gadis yang mendapat tawaran untuk menjadi model antarabangsa, Nafa Salvana ketika dia makan ‘pecal lele’ di sebuah gerai di Bandung, terus diperkatakan pelbagai pihak hingga kini.
Penampilan sulungnya di Minggu Fesyen Milan 2022 di Itali juga kelihatan bersahaja biarpun sebenarnya Nafa tidak pernah mengikuti kelas peragaan.
Ibu Nafa, Diana, 45, memberitahu, dia dan suaminya pada mulanya berasa ragu-ragu selepas Nafa memberitahu dia mendapat tawaran menjadi model antarabangsa.
“Sudah tentu kami terkejut kerana Nafa tidak pernah mengikuti kelas peragaan dan kami bimbang jika dia menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami meminta Nafa supaya tidak terlalu berharap, namun selepas diteliti dan yakin, akhirnya kami membenarkan Nafa mengambil tawaran tersebut,” kata Diana kepada Kompas.com
Wanita itu juga memaklumkan, adiknya turut membantu Nafa ketika menandatangani kontrak dan yakin tawaran itu bukan penipuan.
Selain itu, Diana menceritakan, Nafa pernah menghubungi untuk memaklumkan dia berasa gugup untuk tampil di pentas.
“Nafa beritahu, dia berasa gementar kerana tidak pernah melakukan catwalk, namun dia mendapat sokongan daripada model-model lain.
“Model-model itu memberi kata-kata semangat kepada Nafa untuk berani melangkah dan akhirnya dia berjaya melakukan dengan baik.
“Saya juga berpesan kepada Nafa, jangan malukan nama baik Indonesia, sentiasa ingat kita bangsa Indonesia sampai bila-bila,” ujarnya.
Nafa berasal dari Karawang, Jawa Barat dan melanjutkan pengajian dalam bidang Komunikasi Visual di Universiti Komputer Indonesia di Bandung.