HONG KONG: Hong Kong bakal memulakan semula penerbangan antarabangsa dari sembilan negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Britain pada April ini.
Selepas penularan Omicron berleluasa, pihak berkuasa kesihatan Hong Kong segera melarang kemasukan penerbangan dari lapan negara yang berisiko tinggi termasuk AS, Britain, Perancis dan India sebelum menambah Nepal pada Februari lalu.
Namun, kes jangkitan Covid-19 terus meningkat mendadak dan dalam tempoh tiga bulan, Hong Kong merekodkan lebih sejuta kes serta 5,600 kematian.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini mengumumkan, Hong Kong akan menarik semula larangan penerbangan melibatkan sembilan negara berkenaan.
“Situasi Covid-19 di semua negara tersebut tidaklah seteruk Hong Kong dan kebanyakan ketibaan tidak menunjukkan gejala serius,” katanya.
Pentadbiran Lam berdepan kesukaran susulan peningkatan kes jangkitan selain dasar sifar Covid-19 yang diperkenalkan China itu dilihat tidak berjaya mengekang penularan. – AFP