Guru tunjuk karikatur Nabi Muhammad ketika mengajar, masih bersembunyi - Utusan Malaysia

Guru tunjuk karikatur Nabi Muhammad ketika mengajar, masih bersembunyi

SIASATAN bebas mendapati guru itu tidak berniat menyebabkan kesalahan. - PA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang guru yang menerima ugutan bunuh selepas menggunakan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai bahan pembelajaran kepada pelajarnya tahun lalu, dilaporkan masih lagi bersembunyi.

Tindakan guru itu menggunakan gambar karikatur Nabi Muhammad ketika mengajar kelas agama di Batley Grammar School di West Yorkshire, mencetuskan protes dalam kalangan ibu bapa dan aktivis di hadapan bangunan sekolah, selama beberapa hari.  

Lapor Daily Mail, guru terbabit digantung kerja pada masa itu, namun namanya dibersihkan setelah siasatan bebas mendapati individu tersebut tidak berniat menyebabkan kesalahan.

“Sudah genap setahun selepas menerima ugutan bunuh sehingga memaksanya mendapatkan perlindungan polis, guru itu belum kembali ke tempat kerja atau rumahnya,” jelas laporan The Mail.

Menurut seorang rakan keluarga, Paul Halloran, guru itu  mengaku berasa `sangat sukar’ untuk membina semula kehidupannya selepas insiden tersebut.

“Saya tidak mahu menjelaskan perkara ini secara terperinci.

“Namun, seperti individu lain yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa berpindah untuk membina kehidupan baharu, ia sudah tentu amat sukar.

“Saya pasti orang ramai boleh bayangkan betapa sukarnya bagi guru itu,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik dalam talian.

Jelas Halloran, penduduk di Batley ‘amat marah’ dengan tindakan segelintir pihak yang memburu guru itu di rumahnya.

Dilaporkan, kumpulan ibu bapa dan aktivis mengadakan protes di hadapan sekolah menyebabkan sesi persekolahan tertangguh dan polis dipanggil untuk meredakan keadaan.

“Tekanan diberikan oleh mereka menyebabkan guru itu terpaksa bersembunyi. Tindakan demikian tidak seharusnya berlaku,” katanya.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN