JAKARTA: Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menjangka glasier di Indonesia berkemungkinan hilang pada 2025, disebabkan peningkatan suhu yang menyebabkan pencairan ais berlaku lebih cepat.
Glasier tropika yang kurang dikenali itu, antara yang masih tinggal di dunia terletak di pergunungan Puncak Jaya di wilayah Papua.
Selain Indonesia, glasier tropika yang masih ada di dunia terletak di Amerika Selatan dan Afrika.
Glasier itu semakin menipis dan mencair dalam tempoh dua dekad lalu, sehingga menyebabkan ais yang tebal hilang sepenuhnya dalam masa beberapa tahun.
Glasier Papua adalah sisa glasier yang wujud kira-kira 5,000 tahun lalu.
Jabatan Perubahan Iklim BMKG, Dodo Gunawan berkata, glasier di puncak jaya akan hilang tidak lama lagi akibat pemanasan global.
“Akibat suhu di puncak meningkat, ia tidak dapat lagi mengekalkan ketebalan ais untuk memenuhi glasier.
“Hujan yang berkurangan dan ditambah buruk dengan El Nino iaitu fenomena yang menyebabkan air laut tropika dan suhu atmosfera menjadi lebih panas mempercepatkan penipisan glasier,” katanya kepada Arab News.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyelidikan Iklim dan Kualiti Udara BMKG berkata, semasa revolusi perindustrian pada 1850, jumlah kawasan glasier di banjaran gunung Puncak Jaya dianggarkan sekitar 20 kilometer persegi.
Jelasnya, menjelang 2002, liputan ais di kawasan itu berkurangan dua km persegi dan 0.34 km persegi pada Mei 2020.
“Glasier semakin berkurangan sejak 2010 apabila berada pada paras 32 meter dan 22 meter, 2016.
“Tahun lalu, ais menipis sekitar lapan meter. Melihatkan keadaan ini, kemungkinan besar glasier akan lenyap antara tahun 2025 hingga 2027,” katanya.