RIYADH: Gabungan pimpinan Arab Saudi yang menentang kumpulan Houthi mengumumkan pemberhentian operasi ketenteraan di Yemen bermula semalam.
Tindakan itu dibuat setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa melaksanakan gencatan senjata sementara bagi menghormati bulan Ramadan dan umat Islam yang berpuasa.
Lapor Al Jazeera, PBB bekerjasama dengan pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi dan kumpulan Houthi disokong Iran, yang berperang sejak 2005.
“Pakatan mengumumkan pemberhentian operasi ketenteraan di Yemen bermula pada 6 pagi semalam,” kata jurucakap pakatan Jeneral Turki al-Malki sepertimana dilaporkan Saudi Press Agency (SPA).
Gencatan senjata dilihat sebagai langkah paling penting dalam usaha perdamaian dalam tempoh lebih tiga tahun ketika komuniti antarabangsa bergelut menamatkan konflik yang mengorbankan puluhan ribu penduduk dan mengakibatkan jutaan orang di ambang kelaparan.
Jelas laporan SPA, keputusan itu dibuat di tengah-tengah usaha antarabangsa untuk menamatkan krisis Yemen dan mencapai penyelesaian politik yang komprehensif.
Sementara itu, seorang sumber mendakwa, cadangan PBB melaksanakan gencatan senjata adalah sebagai pertukaran membenarkan kapal membawa muatan bahan api berlabuh di pelabuhan Hodeidah yang dikuasai pemberontak Houthi dan beberapa penerbangan komersial untuk beroperasi dari lapangan terbang Sanaa.










