BEIJING: Hampir 30 juta penduduk menjalani perintah berkurung di seluruh China semalam ketika kes jangkitan Covid-19 di negara ini terus menunjukkan trend peningkatan.
China melaporkan 5,280 kes jangkitan baharu, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kelmarin ketika varian Omicron terus menular di seluruh negara.
China yang berpegang kepada polisi sifar Covid-19 mengambil pendekatan melaksanakan perintah berkurung di beberapa bandar utama dan kawasan bagi mengekang penularan.
Sekurang-kurangnya 13 bandar di seluruh negara dikenakan perintah berkurung penuh dengan sejumlah yang lain menjalani perintah berkurung separa.
Wilayah timur laut China, Jilin merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan merekodkan sebanyak 3,000 kes baharu.
Bandar Shenzhen yang dihuni 17.5 juta penduduk sudah pun menjalani perintah berkurung selama tiga hari, menyaksikan banyak kilang ditutup dan rak pasar raya kosong berikutan pembelian panik oleh masyarakat.
Semalam merupakan enam hari berturut-turut China merekodkan lebih 1,000 kes jangkitan baharu dan pakar kesihatan meramalkan situasi semakin teruk dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, situasi tersebut juga boleh memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi China yang merupakan hub ekonomi kedua terbesar dunia.
“Penularan jangkitan dan perintah berkurung yang dijalankan boleh membebankan pengguna dan menjejaskan bekalan keperluan dalam tempoh terdekat,” kata Tommy Wu dari Oxford Economics.
Sementara itu, puluhan penerbangan domestik di beberapa lapangan terbang di beijing dan Shanghai turut menerima kesan apabila dibatalkan. – AFP










