SYDNEY: Hujan lebat membasahi timur Australia sejak Selasa lalu, sehingga ribuan penduduk diarahkan berpindah buat kali kedua, bulan ini.
Lapor Reuters, pihak berkuasa memberi amaran cuaca tersebut berkemungkinan berterusan dalam tempoh 24 jam akan datang.
Beberapa perintah pemindahan dikeluarkan untuk bandar Lismore, yang musnah bulan lalu, apabila air banjir setinggi 14.3 meter melanda kawasan perumahan sehingga menghanyutkan kereta dan penduduk tempatan terkandas di atas bumbung rumah mereka.
Perkhidmatan kecemasan negeri melaporkan sudah mengerahkan anggota tambahan, kenderaan, bot dan helikopter sebelum ramalan ribut dan banjit kilat ‘mengancam nyawa’, semalam.
Ratusan penduduk terpaksa diselamatkan dengan ramai mangsa mengharungi banjir menggunakan bot persendirian serta berkayak kerana bantuan kecemasan terganggu.
Bulan lalu, banjir yang melanda seluruh negeri Queensland dan New South Wales meragut 21 nyawa serta menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal, dengan kebanyakan tinggal sementara di kawasan yang dijangka hujan lebat minggu ini.
Di Queensland, seorang lelaki ditemukan maut dalam kereta semasa banjir, Isnin lalu.











