KYIV: Sekurang-kurangnya 35,000 orang awam berjaya dipindahkan keluar dari beberapa bandar Ukraine yang dikepung oleh tentera Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam ucapan video berkata, tiga koridor kemanusiaan yang dibuka membolehkan penduduk meninggalkan bandar Sumy, Enerhodar dan beberapa kawasan sekitar Kyiv.
Menurut Zelenskyy, beliau berharap agar proses pemindahan itu berjalan lancar dengan tiga lagi laluan akan dibuka di bandar Mariupol, Volnovakha di tenggara dan Izium di timur Ukraine.
Pemindahan itu berlaku selepas Moscow dan Kyiv bersetuju untuk membuka lebih banyak laluan koridor kemanusiaan sekali gus menawarkan harapan kepada penduduk yang terperangkap di beberapa bandar yang diserang Rusia.
Semalam, lebih 5,000 orang dipindahkan dari Sumy, sebuah bandar memiliki kira-kira 250,000 penduduk yang terletak berhampiran sempadan Rusia dan menjadi lokasi pertempuran.
Namun, cubaan untuk memindahkan penduduk dari bandar Mariupol yang dikepung oleh Rusia, gagal beberapa kali.
Sementara itu, Gabenor wilayah Kyiv, Oleksiy Kuleba berkata, lebih 10,000 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka di sekitar bandar tersebut. – AFP/AGENSI