DOHA: Kira-kira 10,000 pekerja asing dari negara Asia Selatan dan Asia Tenggara dilaporkan maut setiap tahun di negara Asia Barat.
Lapor The Guardian, laporan oleh kumpulan hak asasi manusia menyatakan lebih separuh kematian tidak dijelaskan dan kes tersebut kebiasaannya direkodkan sebagai ‘punca semula jadi’ atau ‘serangan jantung’.
Asia Barat didapati gagal menyiasat punca kematian ramai pekerja asing di negara mereka.
Laporan bertajuk ‘Tanda-Tanda penting: Kematian Migran di Negara Asia Barat’ disusun oleh pertubuhan bukan kerajaan dari Bangladesh, India, Pakistan, Nepal dan Filipina, serta Projek FairSquare yang merupakan organisasi hak asasi migran di London.
Pekerja migran yang dibayar gaji rendah di negara itu terdedah dengan risiko kesihatan termasuk pencemaran air, strok haba dan kerja berlebihan.
Golongan itu juga berdepan pencabulan hak pekerja, kesihatan pekerjaan yang lemah dan amalan keselamatan, tekanan psikososial serta tekanan melampau.
Laporan menjelaskan waktu bekerja yang panjang semasa suhu panas terik boleh menyebabkan strok haba dan merosakkan organ dalaman.
Julhas Uddin, 37, dari Bangladesh dilaporkan meninggal dunia di Arab Saudi pada Oktober 2017, apabila penyelia mengarahkan diriya memasuki loji pembentungan tanpa silinder oksigen.
Sehingga kini, tiada sebarang siasatan dijalankan dan kematiannya diklasifikasikan sebagai ‘kegagalan jantung berfungsi dan nafas terhenti’.
Terdapat 30 juta migran bekerja di Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Kuwait.
80 peratus daripada mereka yang datang dari negara miskin di Asia dan Afrika bekerja dalam sektor pekerjaan yang dibayar gaji rendah seperti pembinaan, hospitaliti dan kerja domestik.