MUMBAI: Seorang lelaki ditahan kerana didakwa merogol warga emas berusia 87 tahun di New Delhi, India.
Lapor BBC, suspek berusia 30 tahun dan bekerja sebagai tukang sapu.
Menurut polis, lelaki itu tinggal berhampiran rumah mangsa di kawasan Tilak Nagar di New Delhi.
Ketika kejadian, mangsa terlantar di katil dan bersendirian sebelum lelaki itu didakwa memecah masuk rumah dan menyerangnya.
Dilaporkan, mangsa tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 65 tahun.
Bagaimanapun, anak perempuannya tidak berada di rumah ketika kejadian itu.
Sementara itu, keluarga mangsa menyalahkan polis kerana pada mulanya mereka hanya memfailkan kes tersebut atas kesalahan mencuri dan bukannya merogol.
Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan tersebut.
“Keluarga wanita itu hanya melaporkan mengenai kecurian pada Ahad lalu. Tuduhan dirogol itu hanya dibuat dalam aduan kedua semalam,” katanya.
Memetik laporan akhbar Indian Express, seorang saudara mangsa mendakwa polis menasihati mangsa dan anak perempuannya untuk tidak melaporkan kes rogol itu kerana hanya akan membebankan mereka.
“Jadi, polis memfailkan kes kecurian tanpa memaklumkan kepada kami,” katanya. – AGENSI