DODOMA: Tanzania sedang berusaha untuk menubuhkan kilang pengeluaran vaksin sendiri dalam usaha menangani Covid-19 dan penyakit lain di negara itu.
Lapor BBC, Presidennya, Samia Suluhu Hassan berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk mengeksport vaksin dihasilkannya ke negara-negara timur dan selatan Afrika.
Hassan menerusi kenyataan menyatakan Tanzania mungkin terpaksa membelanjakan sebanyak AS$100 juta (RM418.7 juta) untuk mengimport bekalan vaksin menjelang 2030.
Justeru, katanya, terdapat keperluan untuk membangunkan kilang pembuatan vaksin sendiri.
Hassan ketika ini dalam lawatan kerja ke Brussel untuk bertemu dengan Presiden Majlis Kesatuan Eropah, Charles Michel.
Menurut Hassan, beliau akan menyerahkan proposal untuk mendapatkan sokongan bagi menjayakan projek berkenaan.
Rancangan untuk membangunkan kilang vaksin sendiri merupakan idea dicetuskan oleh bekas presiden, John Magufuli yang meninggal dunia tahun lalu akibat komplikasi jantung. – AGENSI










