PRINGSEWU: Seorang wanita maut selepas dilanggar oleh suaminya yang ketika itu baru belajar memandu kereta.
Kejadian itu berlaku di daerah Pringsewu di Lampung, baru-baru ini.
Insiden itu berlaku ketika suami mangsa mahu meletakkan kenderaan di garaj rumah mereka.
Ketika itu, mangsa menyapu laman rumahnya sambil memerhatikan suaminya sebelum kereta yang dipandu lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuhnya.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Pringsewu, Dany Waldy mengesahkan insiden itu.
Katanya, suami mangsa kini masih terkejut dengan insiden yang berlaku.
“Suami mangsa tidak menyangka akan melanggar isterinya sendiri hingga maut.
“Dia memberitahu dia gagal mengawal keretanya sehingga melanggar isterinya yang ketika itu menyapu sampah,” kata Dany.
Mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala, selain patah tulang kaki.