BRISBANE: Seorang ditemukan maut di dalam kereta ditenggelami air dan 10 lagi dilaporkan hilang selepas hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di timur Australia.
Situasi itu menyebabkan amaran kecemasan dikeluarkan di bahagian atas dan bawah Pantai Pasifik.
Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszszuk berkata, mayat mangsa berumur 60 tahun ditemukan pagi tadi di negeri itu.
Beliau turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu `tragedi’.
Dilaporkan, beberapa kawasan di negeri itu mencatatkan taburan hujan hampir setengah meter dalam tempoh 24 jam.
Keadaan itu menyebabkan beberapa jalan raya terpaksa ditutup dan sistem pengangkutan terganggu.
Perkhidmatan kecemasan menerima lebih 100 panggilan telefon meminta bantuan dan pasukan penyelamat dikerahkan untuk membantu puluhan penduduk yang terkandas.
“Ini berpotensi menjadi kejadian musim hujan yang ketara bagi tenggara Queensland,” kata Palaszszuk di Parlimen.
Sebuah kereta api membawa muatan barang dilaporkan terbalik berhampiran bandar Gympie akibat hujan lebat.
Pemandunya hanya mengalami kecederaan ringan.
Berdasarkan laporan media tempatan, Polis Daerah Sunshine Coast, Superintenden Craig Hawkins memaklumkan 10 orang dipercayai hilang.
Katanya, sebanyak 15 empangan Queensland berada pada kapasiti penuh dan dijangka lebih banyak taburan hujan akan berlaku dalam beberapa hari akan datang. – AFP










