ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengesahkan beliau dan isterinya, Emine Erdogan dijangkiti Covid-19.
Beliau bagaimanapun memaklumkan mereka tidak mengalami sebarang gejala serius setakat ini.
Menurut pemimpin itu, hasil ujian saringan menunjukkan beliau dan isterinya positif varian Omicron.
“Syukurlah, kami hanya mengalami gejala ringan.
“Kami akan meneruskan tugas kami dari rumah. Kami mengharapkan doa anda semua,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Dilaporkan, Recep Tayyip menerima suntikan dos vaksin ketiga pada Jun tahun lalu.
Turki merekodkan kira-kira 12 juta kes Covid-19 dan hampir 90,000 kes kematian sejak permulaan pandemik itu. – AFP










