JAKARTA: Hampir setiap hari terdapat kes penyeludupan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara jiran dari Indonesia terutamanya ke Malaysia.
Perkara itu disuarakan oleh Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo dalam satu pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Tan Sri Acryl Sani Abdullah ketika membincangkan isu pekerja asing itu pada akhir Januari lalu.
Memetik laporan CNA, pihak berkuasa menegaskan cubaan warga Indonesia memasuki Malaysia secara haram bukan sesuatu yang luar biasa.
Jurucakap tentera laut Laksamana Pertama Julius Widjojono dalam satu temubual bersama CNA mendedahkan pihak berkuasa berjaya memintas sekurang-kurangnya empat percubaan warga Indonesia menyusup masuk ke Malaysia secara haram dalam tempoh tiga bulan lalu.
Katanya, pihak berkuasa sudah melakukan beberapa operasi serbuan membabitkan satu di Batam dan tiga di Sumatera termasuk insiden tentera Indonesia berjaya memintas cubaan 34 warga Indonesia yang menaiki bot pada 7 Februari lalu.
Sementara itu, ketua agensi perlindungan pekerja asing Indonesia (BP2MI), Benny Rhamdani berkata, PATI yang cuba memasuki negara jiran secara haram biasanya menyebabkan kemalangan bot.
Katanya, sekurang-kurangnya lima nahas bot yang mengakibatkan puluhan warga Indonesia maut antara Disember 2021 sehingga Januari lalu.
Berdasarkan beberapa PATI di temubual, tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan menjadi antara punca utama golongan itu cuba menyusup masuk ke Malaysia. – AGENSI