SYDNEY: Seorang jurulatih selam rakyat Britain dikenal pasti sebagai mangsa yang terbunuh akibat diserang jerung dalam satu kejadian di sebuah pantai di sini kelmarin.
Insiden itu merupakan yang pertama kali berlaku dalam tempoh 60 tahun di pantai Little Bay, kira-kira 20 kilometer ke selatan Sydney.
Media tempatan melaporkan, Simon Nellist, 35, berpindah ke Australia sejak enam tahun lalu dan diserang haiwan pemangsa itu ketika menjalani latihan untuk program renang amal yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Nellist yang merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Britain menjadi ahli kelab menyelam di Sydney dan sering melakukan aktiviti di pantai tersebut.
Insiden itu mengejutkan banyak pihak kerana orang ramai ‘berpeluang’ menyaksikan Nellist dibaham jerung depan mata mereka.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mula memasang umpan untuk menangkap jerung berkenaan, selain turut menggunakan drone dan helikopter bagi mengesan kedudukan ikan tersebut.
Datuk Bandar Randwick, Dylan Parker memberitahu, setakat ini pihak berkuasa belum dapat mengesan kedudukan jerung tersebut.
Keadaan itu membolehkan beberapa pantai di kawasan sekitar dibuka kepada orang ramai, termasuk pantai Bondi.
Serangan jerung di Sydney amat jarang berlaku kerana pihak berkuasa memasang jaring khas untuk mengurangkan risiko serangan.
Namun, jaring itu tidak memperuntukkan perlindungan sepenuhnya untuk orang ramai dan mereka masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga. – REUTERS