YANGON: Junta tentera Myanmar didakwa membunuh orang awam dan menjadikan mereka sebagai perisai manusia dalam siri keganasan berlaku di timur wilayah Karenni.
Dakwaan itu dibuat oleh kumpulan hak asasi terkemuka, Fortify Rights dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan hari ini.
Lapor Al Jazeera, Fortify Rights mengecam tindakan berkenaan yang disifatkan menyamai jenayah perang.
Menurut kumpulan hak asasi itu, pihaknya mendokumentasi pelbagai insiden termasuk serangan ke atas tempat beribadat, rumah penduduk, kem pelarian dan sasaran bukan ketenteraan lain yang berlaku di wilayah itu antara Mei 2021 hingga bulan lalu.
Jelasnya, sekurang-kurangnya 61 orang awam terkorban pada masa itu.
Laporan itu dikeluarkan ketika menteri-menteri luar dari ASEAN bersiap sedia untuk mengadakan pertemuan di Kemboja.
Sebelum ini, sidang kemuncak ASEAN di Jakarta bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara yang sepatutnya menamatkan keganasan di Myanmar, namun setakat ini, tiada kemajuan dilaporkan.
Justeru, Fortify Rights menegaskan sudah tiba masanya ASEAN memberikan sokongan dalam melaksanakan sekatan senjata global.
“Junta Myanmar membunuh penduduk dengan menggunakan senjata yang diperoleh di pasaran global. Jadi, ia harus disekat serta-merta.
“Tindakan tegas perlu diambil agar junta Myanmar berfikir semula sebelum menyerang orang awam.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu segera mengenakan sekatan senjata global ke atas tentera Myanmar dan adalah wajar bagi ASEAN menyokongnya,” kata Pengarah Serantau Fortify Rights, Ismail Wolff.
Laporan Fortify Rights berdasarkan keterangan 31 saksi dan mangsa terselamat serta bukti gambar dan rakaman video yang sah.
Ia termasuk butiran baharu mengenai insiden pembunuhan di bandar Hpruso yang menyebabkan seramai 40 orang awam terkorban termasuk seorang kanak-kanak dan dua pekerja pertubuhan, Save the Children. – AGENSI