JAKARTA: Indonesia bersedia untuk melaksanakan suntikan dos keempat vaksin Covid-19 sekiranya diperlukan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Lapor CNN Indonesia, perkara itu bagaimanapun perlu diteliti secara menyeluruh dan menunggu kajian daripada pakar kesihatan mengenai keperluan dos keempat.
Jurucakap Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah melengkapkan program vaksinasi terdahulu bagi membentuk imuniti kelompok yang luas.
“Kita akan meneliti sama ada perlu atau tidak suntikan dos keempat vaksin Covid-19 berdasarkan pandangan dan nasihat pakar kesihatan.
“Jika diperlukan, Indonesia bersedia untuk melaksanakannya demi perlindungan rakyat daripada ancaman Covid-19,” katanya.
Jelas Dante, pemberian dos penggalak bertujuan memberi perlindungan lebih menyeluruh selepas kadar perlindungan vaksinasi lengkap menurun dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan suntikan vaksinasi lengkap berserta dos penggalak.
“Berdasarkan data terkini, antibodi penerima akan bertambah 16 peratus menerusi dos pertama, kemudian bertambah 67 peratus pada dos kedua dan meningkat 97 peratus melalui dos penggalak.
“Dos penggalak juga dapat mengurangkan kematian sehingga 91 peratus akibat jangkitan Covid-19,” ujarnya.
Ketika ini, kes jangkitan Covid-19 di Indonesia direkodkan meningkat akibat penularan varian Omicron.