RIO DE JANEIRO: Keadaan cuaca buruk menjejaskan usaha mencari mangsa yang masih hilang di Petropolis, Brazil selepas bandar itu dilanda banjir kilat dan tanah runtuh dashyat empat hari lalu.
Lapor BBC, pasukan kecemasan terpaksa menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) beberapa kali semalam akibat hujan lebat.
Malah, pasukan kecemasan memaklumkan peluang semakin tipis untuk menemukan mangsa yang masih hidup dalam insiden tersebut.
Menurut pegawai, seramai 146 mangsa termasuk sekurang-kurangnya 27 kanak-kanak dan remaja meninggal dunia akibat bencana itu.
Katanya, kira-kira 191 mangsa lagi masih hilang.
Dilaporkan, lebih 900 orang ditempatkan di beberapa pusat perlindungan sementara dan sekolah.
Dalam operasi dijalankan semalam, anggota penyelamat menggunakan penyodok untuk menggali timbunan serpihan runtuhan dalam keadaan kabus tebal.
Beberapa pasukan sukarelawan juga membantu dalam operasi tersebut.
Operasi pencarian itu dilakukan oleh pasukan dengan menggunakan peralatan tangan dan mesin gergaji rantai di kawasan yang tidak stabil, sambil dibantu 41 anjing penghidu untuk mengesan mangsa.
“Agak mustahil untuk membawa masuk jentera berat ke kawasan ini, jadi kami terpaksa bekerja seperti ini untuk mengesan mangsa,” kata penyelaras pasukan penyelamat khas jabatan bomba, Roberto Amaral kepada AFP.
Di sebuah kawasan kejiranan yang terjejas teruk, lebih 80 buah rumah terletak di lereng bukit, dilanda tanah runtuh.
Lebih 400 orang akan menyertai operasi pembersihan di kawasan yang terjejas.
Taburan hujan luar biasa yang berlaku pada Selasa lalu mencetuskan tanah runtuh dan banjir di bandar pelancongan yang popular di utara Rio De Janeiro.
Menurut agensi meteorologi MetSul, jumlah taburan hujan itu melebihi purata untuk keseluruhan bulan ini. – AGENSI/AFP










