BANGKOK: Seorang samseng yang terkenal ditemukan maut akibat ditembak beberapa kali di luar sebuah vila mewah di Thailand.
Lapor Daily Mail, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga lelaki melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap Mandeep Singh, 30, selepas dia tiba di vila mewahnya di Phuket.
Mandeep disyaki merupakan anggota kumpulan samseng yang digeruni di Kanada.
Dilaporkan, enam tahun lalu, Mandeep dihantar pulang dari Vancouver, British Columbia kerana melakukan ‘kesalahan serius’ sebelum melarikan diri ke pulau percutian popular tersebut.
Dia ditembak mati kira-kira pukul 10.30 malam pada Jumaat lalu di luar perkarangan vila yang merupakan sebahagian bangunan hotel.
Klip video itu menunjukkan Mandeep tiba di luar vila dengan kereta berwarna merah sebelum tiga lelaki muncul sambil memegang pistol separa automatik.
Lelaki bersenjata itu bersembunyi di belakang kenderaan lain yang diparkir di jalan masuk sebelum melepaskan sekurang-kurangnya 18 das tembakan terhadap Mandeep.
Jiran yang tinggal bersebelahan vila itu menganggap bunyi tembakan berkenaan sebagai mercun yang dibakar untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan mayat Mandeep ditemukan pekerja resort kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum menghubungi polis.
Sementara itu, polis berkata, Mandeep mempunyai sekurang-kurangnya 18 luka tembakan di seluruh badannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.