Gegaran amat kuat sehingga berdiri pun sukar - penduduk

Gegaran amat kuat sehingga berdiri pun sukar – penduduk

KEADAAN sebuah rumah penduduk yang musnah akibat gempa bumi di Pasaman Barat, Sumatera Barat. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUMATERA: Dua gempa bumi yang berlaku di Pasaman Barat, Sumatera Barat semalam menyaksikan penduduk setempat lari bertempiaran meninggalkan rumah masing-masing kerana panik.

Seorang daripada penduduk memaklumkan, gegaran yang dirasakan sangat kuat sehingga mereka tidak mampu berdiri dengan stabil.

Katanya, gempa pertama menyebabkan penduduk panik dan keluar dari rumah masing-masing.

“Empat minit kemudian, gempa kedua berlaku dan gegaran lagi kuat berbanding yang pertama.

“Ada dalam kalangan kami tidak mampu berdiri dengan stabil kerana gegaran yang kuat,” katanya yang enggan mendedahkan identiti kepada Antara News.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 20 cedera akibat gempa tersebut.

Selain itu, situasi huru-hara juga berlaku di beberapa hospital apabila petugas bertungkus-lumus memindahkan pesakit bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Berdasarkan maklumat dari Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG), gempa pertama berlaku pada kekuatan 5.0 skala Richter pada pukul 8.35 pagi waktu tempatan.

Gempa kedua pula berlaku empat minit kemudian iaitu pukul 8.39 pagi dengan kekuatan 6.2 Richter.

Gempa kedua itu direkodkan berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan berpusat 17 kilometer ke timur laut Pasaman Barat manakala gempa pertama berpusat 18 kilometer ke timur laut kawasan yang sama.

Selain itu, dua gempa tersebut menyebabkan beberapa infrastruktur termasuk rumah penduduk dan sekolah mengalami kerosakan.

Jurucakap Palang Merah Indonesia di Pasaman Barat, Ilham memberitahu, pihak berkuasa masih mengumpul data mengenai kerosakan infrastruktur, termasuk kecederaan atau kematian melibatkan penduduk.

Katanya, antara kemudahan yang musnah akibat gempa itu termasuk masjid dan dewan komuniti.

Perkara sama turut disampaikan oleh Ketua Badan Tindakan Bencana Daerah (BPBD) Pasaman Barat, Azhar yang menyatakan, penduduk ketika ini dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan runtuhan kerana dibimbangi struktur yang tidak stabil.

Sementara itu, gempa tersebut turut dirasai di beberapa negara jiran termasuk Singapura dan Malaysia. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN