WESTERN AUSTRALIA: Seorang bekas banduan berkongsikan beberapa petua pelik sepanjang ditahan di sebalik jeriji besi di negara ini.
Antara petua tersebut adalah bagaimana menghidupkan api dengan hanya menggunakan kondom, lapor Daily Mail.
Andre Smith membuat perkongsian tersebut menerusi akaun TikTok menggunakan nama Detentioncentrejourney501.
501 merujuk kepada seksyen dalam Akta Migrasi Australia yang membenarkan visa individu dibatalkan.
Dalam klip video tersebut, Smith mendedahkan api boleh dihidupkan hanya dengan sekeping kertas dan sebuah kondom berisi air ketika cuaca panas terik.
“Di pusat tahanan, kami hanya mempunyai akses kepada kondom untuk menghidupkan api. Jangan tanya saya kenapa,” katanya menerusi video itu.
Lelaki itu kemudian mengisi air sehingga penuh di dalam kondom tersebut dan mengikatnya sebelum meletakkan di bawah cahaya matahari beralaskan kertas putih.
“Ia mengambil masa selama tiga hingga lima minit bergantung kepada cahaya terik matahari,” ujarnya.
Menerusi video itu, Smith berjaya menghidupkan api tersebut.
Menurut Smith, petua tersebut sangat berguna ketika berkhemah dan tidak mempunyai pemetik api.
Smith menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di penjara Australia dan sedang menunggu untuk dihantar pulang ke New Zealand.











