JEDDAH: Insiden yang menimpa Rayan Oram di Maghribi mengingatkan penduduk Arab Saudi kepada kejadian serupa yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
Pada Disember 2013, Lama al-Rouqi, enam tahun, terjatuh ke dalam perigi terbiar di utara bandar Tabuk.
Lapor Arab News, mayat kanak-kanak itu ditemukan pada kedalaman 40 meter di dalam perigi tersebut.
Sebelum kejadian, Lama berkelah bersama keluarganya di kawasan tersebut.
Sejumlah teknologi moden, termasuk kamera inframerah digunakan untuk menentukan kedudukan sebenar Lama di dalam perigi tersebut.
Walaupun dibantu oleh syarikat minyak Arab Saudi, Aramco semasa operasi menyelamat, Lama tetap gagal diselamatkan dan mayatnya dikeluarkan selepas beberapa tempoh.
Ujian DNA mengesahkan Lama meninggal dunia di dalam perigi itu ketika operasi menyelamat dilakukan.
Susulan kematian tragik kanak-kanak itu, golongan belia di negara ini melancarkan satu aplikasi telefon yang bertujuan mengurangkan kemalangan jatuh perigi di Arab Saudi.
Aplikasi yang dinamakan Lama itu digunakan untuk melaporkan mana-mana perigi terbiar yang ditemukan oleh perseorangan atau pihak berkuasa dan mampu berfungsi tanpa isyarat internet.