WELLINGTON: Seorang lelaki Tonga berusia 57 tahun mendakwa dia berenang selama 27 jam selepas dihanyutkan ke laut ketika tsunami melanda kepulauan itu dan disifatkan seperti ‘Aquaman sebenar’.
Letusan Gunung Berapi Hunga Tonga-Hunga pada Sabtu lalu menyaksikan sekurang-kurangnya tiga maut dan mencetuskan tsunami di beberapa negara Pasifik.
Bencana alam itu juga menyebabkan banyak infrastruktur rosak, termasuk kediaman penduduk, selain sistem komunikasi terputus selama beberapa hari.
Lisala Folau yang tinggal di sebuah pulau terpencil, Atata di Tonga dihanyutkan ke laut selepas tsuanmi melanda kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan.
Katanya, dia sedang mengecat rumahnya ketika dimaklumkan mengenai tsunami dan tidak lama kemudian, dia dihanyutkan ombak besar itu.
“Saya cuba panjat pokok, namun gagal apabila satu lagi ombak besar membadai dan ketika dihanyutkan, saya hanya terapung,” katanya.
Lelaki itu memberitahu dia berenang kira-kira sejauh 7.5 kilometer ke pulau utama, Tongatapu dalam tempoh 27 jam kemudian.
Kisah Folau tular dalam media sosial dan orang ramai memuji tindakan berani lelaki warga emas itu.
Pulau Atata terletak lapan kilometer dari ibu negara Tonga, Nuku’alofa atau 30 minit perjalanan jika menaiki bot. – REUTERS