BAITULMUQADDIS: Kes pertama membabitkan virus baharu dikenali sebagai Flurona, dikesan pada seorang wanita hamil di Israel.
Flurona merupakan gabungan antara koronavirus dan influenza.
Lapor Mirror, wanita hamil yang merupakan pesakit di Hospital Beilinson di Petach Tikva, didapati belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
Sekumpulan doktor mengesan kehadiran patogen Covid-19 dan selesema dalam badan wanita itu.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan wanita hamil itu dikesan positif bagi dua jangkitan semasa melakukan ujian saringan di hospital.
Kementerian Kesihatan Israel kini sedang mengkaji hasil ujian tersebut.
“Pesakit wanita itu menunjukkan gejala agak ringan untuk jangkitan yang menyebabkan kesukaran bernafas.
“Bagaimanapun, kementerian kesihatan sedang mengkaji gabungan kedua-dua virus itu bagi mengesan sama ada ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius,” jelas laporan tersebut.
Sementara itu, pakar tempatan memaklumkan terdapat beberapa pesakit lain yang dijangkiti dengan kedua-dua virus itu namun belum didiagnosis. – AGENSI