Undang-undang baharu Israel benarkan kanak-kanak Palestin ditangkap - Utusan Malaysia

Undang-undang baharu Israel benarkan kanak-kanak Palestin ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Undang-undang Israel yang diluluskan di Knesset iaitu Badan Perundangan Israel membenarkan pihak berkuasa ‘negara haram’ itu menahan penduduk Palestin seawal usia 12 tahun.

Lapor al-Jazeera, polis Israel mengguna pakai undang-undang tersebut demi kepentingan tertentu.

Selain kanak-kanak sehingga umur 14 tahun mesti hadir ke mahkamah dalam tempoh 12 jam ditangkap, pihak polis juga berulang kali membuat permohonan kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan kanak-kanak tersebut.

Organisasi Adalah yang bertindak sebagai peguam kepada tahanan Palestin mendededahkan keadaan kanak-kanak yang ditahan sangat merisaukan kerana ada mangsa yang dijangkiti Covid-19 dan berdepan penderaan fizikal dan psikologi.

Peguam Shahda Ibn Bari menjelaskan sekalipun tahanan dibebaskan, mereka menderita akibat ditahan serta mendatangkan kesan psikologi yang sangat teruk kepada kehidupan.

“Kanak-kanak diseksa semasa ditahan dan kami melihat banyak gambar kanak-kanak dicekik.

“Mereka turut diancam dengan menakut-nakutkan mereka supaya tidak menyertai sebarang protes,” katanya.

HAK DITINDAS

Taktik itu bagi memastikan remaja seperti Jenin, 16, menjadi takut untuk menyertai sebarang protes.

Ayahnya berkata, Jenin pernah menghadiri bantahan bersama-sama rakan sekolahnya tanpa melakukan sebarang tindakan ganas.

“Anak saya merasakan dia sudah melakukan yang terbaik terhadap rakyat Palestin kerana tentera Israel menyerang kawasan kejiranan kami,” katanya.

Menurut Shahda, peguam mengalami kesukaran untuk membela kanak-kanak bawah umur kerana agensi perisikan sering campur tangan dan mengetepikan sebarang keputusan mahkamah yang dibuat untuk membebaskan seorang kanak-kanak atas alasan keselamatan negara serta kesalahan yang didakwa akan diklasifikasikan semula.

“Agensi perisikan mempunyai kuasa menghalang kanak-kanak bertemu peguam, menahan selama beberapa hari, membawa tahanan ke mahkamah tanpa bertemu peguam serta menghalang kanak-kanak tidak berkomunikasi dengan dunia luar.

“Menangkap kanak-kanak Palestin adalah perang perpecahan terhadap mereka dan mahkamah Israel tidak pernah menerima rayuan kami,” jelasnya.

 ISRAEL PARANOID

Seramai 30 tentera Israel pernah memecah masuk sebuah rumah pada waktu awal pagi, semata-mata mahu menangkap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Ammar dituduh menghadiri protes membantah rampasan tanah oleh tentera Israel di wilayah Naqab.

“Kami tidak tahu alasan sebenar mereka menahan anak saya. Tentera Israel menendang pintu rumah pada pukul 5.30 pagi.

“Dia hanya berusia 12 tahun dan tidak boleh pergi ke sekolah kerana dikenakan tahanan rumah.

“Tentera Israel melarang Ammar pergi ke sekolah selama 10 hari. Saya menjadi terkejut dan menjerit ‘Apakah yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak 12 tahun terhadap kamu?

“Saya risau kalau mereka pukul atau dera anak saya dalam penjara. Dia menangis ketakutan,” luahnya.

Selepas Ammar dibebaskan dan dihantar semula ke rumah, kanak-kanak itu langsung tidak mengeluarkan sebarang patah perkataan.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan besar terhadap ahli keluarga sepanjang Ammar ditahan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya