BANGKOK: Thailand merekodkan kematian pertama melibatkan pesakit Covid-19 yang dijangkiti varian Omicron.
Kematian pesakit wanita berusia 86 tahun di wilayah Songkhla itu dicatatkan selepas Thailand mengesan kes pertama Omicron pada bulan lalu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Thailand, Rungrueng Kitphati berkata, pesakit wanita itu sudah lama terlantar, selain memghidap Alzheimer.
Kematian akibat Omicron sudah dijangka selepas negara ini sudah merekodkan lebih 10,000 kes membabitkan varian tersebut.
Thailand mencatatkan 8,077 kes jangkitan dan sembilan kematian baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes lebih 2.3 juta dan hampir 22,00 kematian sejak pandemik bermula pada tahun 2020.
Kira-kira 66 peratus daripada 72 juta penduduk di negara ini sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. – REUTERS